Popular Post

Posted by : Hollowmen June 04, 2013

Gambar Hiasan

Sudah 15 hari Harun dikebumikan selepas maut dalam satu kemalangan di simpang 3. Namun kesedihan Sameah masih belum reda. Kematian suami tersayang membuatkan Sameah bagaikan helang kepatahan sayap. Tempat bergantung juga sudah tiada, tempat bermanja jauh sekali.


Sameah masih ingat ketika pagi kejadian, dia masih di dapur apabila Harun memberitahu dia terpaksa ke tempat kerja lebih awal pagi ini. Sameah hanya sempat membancuh milo, tetapi sarapan masih terjerang di atas dapur.

"Tunggu sambal tumis masak sekejap bang," ujar Sameah sambil menghidangkan nasi lemak yang masih berasap.

"Tak apalah Yah, tengahari nanti abang balik, abang makanlah nasi lemak tu," ujar Harun. Dia kelihatan begitu tergesa-gesa. Topi keledar dicapainya dan terus disarung ke kepala. Stokin dan kasut dipakai secepat kilat dan Harun terus menuju ke tempat letak motorsikalnya.

Sebaik sahaja Harun pergi, Sameah menutup semula makanan di atas meja. Rengekan Azril, anak bongsunya segera menarik perhatiannya. Sameah mematikan api dapur dan terus ke bilik. Azril sudahpun bangun tetapi tangisannya sangat luar biasa dari hari-hari sebelumnya.

Sameah hairan. Dia merasa seluruh tubuh Azril. Tidak pula panas kalau nak dikatakan demam. Sameah memujuk Azril sambil menggantikan lampin. Kemudian mendukung anaknya ke dapur. Sameah menyuapkan telur rebus ke mulut Azril tetapi anak kecil itu menolak. Sameah hairan. Anaknya tidak pernah begitu sebelum ini. Jam sebelas pagi baharulah Azril berhenti menangis. Selepas menyusu Sameah menidurkan Azril di dalam biliknya.

Sedang Sameah memanaskan lauk di dapur, tiba-tiba perasaannya menjadi tidak enak. Apabila terpandang nasi lemak Harun di meja, perasaannya menjadi semakin tidak menentu. Deringan telefon membuatkan Sameah tersentak. Dia segera menjawab panggilan di ruang tamu.

"Ya Allah...abang..," tiba-tiba Sameah menjerit sebaik sahaja mendengar berita yang disampaikan. Harun terbunuh dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. Pandangan Sameah kelam, dia rebah tanpa meletakkan gagang telefon di tempatnya. Mujurlah jeritannya di dengar Pak Busu yang sedang mengayuh basikal melintasi halaman rumah Sameah. Pak Busu segera memanggil jiran-jiran wanita untuk membantu Sameah. Sameah hanya tersedar apabila jenazah Harun sampai selepas Zuhur di rumahnya.

"Yah, kalau nak tengok muka Harun buat kali terakhir, tengoklah. Tok dah buka kapan di mukanya," ujar Tok Imam. Sameah merenung mayat Harun yang sudah dimandi dan dikapankan oleh pihak hospital. Bagai tidak terdaya Sameah hendak menatap wajah suami tercinta. Terkilan hatinya kerana Harun tidak sempat menjamah nasi lemak kegemarannya pagi tadi.

Walaupun sudah 2 minggu berlalu, Sameah masih menangisi kematian Harun. Adik-beradik dan sanak saudara sudah pulang ke rumah masing seorang demi seorang. Seperti malam-malam yang lalu, Sameah gagal melelapkan matanya. Kenangan dan ingatannya hanya kepada Harun. Setiap kali rindunya memuncak dia akan membaca surah al-Fatihah dan al-Ikhlas, lalu dihadiahkan kepada allahyarham. Hanya itulah ubat yang mampu menenangkan jiwanya. Kalau dia tidur pun, hanya tidur-tidur ayam. Sering dia terjaga di tengah malam dan pasti tidak mampu terlena lagi hingga ke pagi.

Malam itu Sameah gagal melelapkan matanya lagi. Walaupun kokok ayam yang pertama sudah kedengaran, matanya tidak mengantuk sedikitpun. Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi tapak kaki menapak di lantai rumahnya. Sameah terkejut. Tak mungkin anak sulungnya Shahril bangun tengah-tengah malam. Shahril tak pernah bangun tengah malam sebelum ini. Sameah dapat mendengar bunyi tapak kaki yang mundar mandir ke hulu ke hilir. Tetapi kedengarannya seperti bukan berjalan, tetapi melompat setapak-setapak.

"Kucing agaknya," bisik hati Sameah. Dia membiarkan bunyi tapak kaki itu menghilang. Ketika azan Subuh berkumandang. Sameah segera bangun dan menunaikan solat Subuh. Ketika remang Subuh mendatang, Sameah segera menjerang air dan mengejutkan Shahril untuk ke sekolah. Sameah segera mengenepikan perasaan sedihnya jauh-jauh apabila berdepan dengan anak-anak.

"Sekolah pandai-pandai Ril, abah kau dah tak ada. Kaulah ganti abah nak jaga mak bila tua nanti, nak tolong mak besarkan adik," pesan Sameah kepada Shahril yang sedang menikmati minum paginya. Shahril segera mengambil beg sekolahnya dan keluar memakai kasut. Belumpun Shahril duduk, dia terpandang bekas tapak kaki di atas papan tangga menuju ke rumah. Kemudian di atas lantai menghala ke dapur dan ke bilik Sameah.

"Mak! tapak kaki siapa ni mak?" jerit Shahril. Sameah bergegas mendapatkan anaknya. Dia juga hairan melihat bekas tapak kaki berlumpur di atas lantai. Sameah segera teringat apa yang didengarnya malam tadi. Mungkinkah ada orang naik ke rumahnya malam tadi. Tapi siapa?

Perasaan Sameah jadi tidak menentu. Ini mesti ada orang yang berniat tidak baik terhadapnya. Baru tiga minggu dia menjanda,sudah adakah lelaki yang menaruh hati kepadanya?

Sameah segera membersihkan kesan tapak kaki di atas lantai tersebut. Sambil hatinya berdoa, janganlah ada apa-apa musibah yang menimpa dia dengan anak-anak. Malam itu Sameah memastikan semua pintu dan tingkap rumahnya berkunci dan bermangga. Kalau ada orang yang nak buat jahat pun, mereka tentu akan mengambil masa untuk membuka pintu dan tingkap rumahnya.

Tetapi malam itu sekali lagi Sameah dikejutkan oleh bunyi yang sama. Sameah sengaja mengajak Shahril tidur bersama di biliknya. Shahril dan Azril tidur di atas katil sedang Sameah tidur di atas tilam yang terhampar di atas lantai. Sameah bingkas bangun sebaik sahaja mendengar bunyi tapak kaki tersebut. Dia mengintai dari pintu biliknya, siapa agaknya yang berani naik ke rumahnya. Tetapi alangkah terkejutnya Sameah apabila melihat sekerat kaki dari betis ke bawah sedang menapak di atas lantai rumahnya. Sameah mengamati kaki tersebut. Dia terkaku melihat kaki tersebut terlompat-lompat mundar mandir di ruang tamu rumah. Tiba-tiba Sameah teringat sesuatu.

"Ya Allah, abang Harun..." bisik Sameah apabila mengenali kaki itu adalah milik suaminya. Serentak dengan itu kaki tersebut hilang dari pandangan. Sameah bagai bari tersedar dari mimpi. Serentak itu juga tubuh Sameah disimbahi peluh dingin dan sejuk. Sameah tidak berani hendak keluar dari biliknya. Malah keesokan paginya, dia menunggu sekeliling cerah lebih dahulu baharu dia mengejutkan Shahril. Shahril tidak diberitahu apa yang berlaku. Malah ketika Shahril mengadu tentang tapak kaki tersebut, Sameah cuma meminta Shahril supaya tidak mempedulikannya.

Petang itu Tok Imam datang ke rumah Sameah. Dia hendak melihat sendiri bekas tapak kaki yang dikatakan oleh Sameah. Sameah ke rumah Pak Imam untuk meminta pandangan mengenai tapak kaki dan kaki Harun yang dilihatnya.

"Memang saya nampak kaki dia Tok," ujar Sameah sedih. "Apa alamatnya tu Tok?" soalnya lagi. Tok Imam memikir-mikir sebentar.

"Ada yang tak kena ni Yah", ujar Tok Imam. Sameah tidak faham apa yang dikatakan oleh Tok Imam. Keesokan harinya, Tok Imam mengajak beberapa orang kampung ke tempat Harun di tempat kemalangan. Tok Imam sendiri mencari di kawasan kemalangan sambil diperhatikan oleh orang-orang kampung yang lain.

"Subhanallah," tiba-tiba Tok Imam bersuara lantang. Orang-orang kampung segera menghampiri Tok Imam. Mereka terkejut apabila melihat sebelah kaki Harun terlindung di sebalik daun-daun keladi di dalam selut.

"Kau ambik benda ni, bawa ke masjid. Kaki ni kita kena mandikan dan kapankan. Lepas tu kita kena kebumikan," ujar Tok Imam. Sameah terkejut apabila diberitahu penemuan kaki Harun di dalam semak di tempat kemalangan.

"Mungkin yang datang tu roh dia, minta disempurnakan. Itu sahaja yang Tok boleh katakan. Wallahualam," ujar Tok Imam ketika Sameah bertanya mengapa dia melihat kaki Harun berjalan di dalam rumah.

Selepas kaki Harun dikebumikan, Sameah tidak mendengar lagi bunyi orang berjalan di dalam rumahnya.

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Welcome To This Story - Date A Live - Powered by Blogger - Designed by Hollowmen -